5 Ahli Sihir Death_Busters

5 Ahli Sihir (ウィッチーズ5, Witches 5) adalah konco-konco di dalam Death Busters. Di dalam manga, mereka dikatakan dicipta oleh Profesor Soichi dari telur Daimon dan diketuai oleh Kaolinite. Di dalam anime, mereka diketuai oleh Profesor Soichi sendiri dan menerima arahan darinya. Seperta nama kebanyakan musuh Sailor Moon, nama mereka adalah berdasarkan nama-nama batuan.

Anime menyatakan tugas mereka sebagai penyelidik di dalam makmal bawah tanah Profesor Soichi selain menjadi pelajar di Sekolah Mugen. Mereka kemudiannya diarahkan mencari 3 Azimat, dan kemudian mencari serta mengumpulkan banyak hati suci bagi membangkitkan Puan 9. Setiap dari mereka cuba untuk memperoleh perhatian dari Profesor Soichi supaya dipilih menjadi ketua eksekutif sindiket jahat tersebut, akan tetapi kesemuanya gagal.

Di dalam manga, mereka mempunyai misi untuk mengumpulkan "bekas", iaitu tubuh manusia untuk dijadikan tempat untuk menanam telur Daimon. Setiap dari mereka memiliki tongkat sakti dan mempunyai tahap kekuatan tersendiri. Kekuatan mereka berpadanan dengan kuasa setiap Srikandi Pelindung Sailor Moon, akan tetapi tidak setanding dengan kuasa Srikandi Pelindung Luar Sistem Suria.

Eudial

Eudial (ユージアル, Yūjiaru, disebut Eugeal dalam versi alih suara bahasa Inggeris) adalah yang pertama muncul di antara 5 Ahli Sihir. Namanya berasaskan batuan Eudialit yang berwarna merah. Di dalam anime, dia digambarkan sebagai ahli tertua di kalangan 5 Ahli Sihir, dan sangat diharapkan oleh Profesor Soichi pada mulanya, menyebabkan dia tidak disenangi oleh rakan-rakannya, terutama sekali Mimet.

Sebagai seorang pencipta, dia telah menghasilkan beberapa senjata yang digunakan dalam pertarungannya dengan Srikandi Sailor. Fire Buster adalah antara senjata pertamanya yang ditampilkan di dalam anime. Ia menghasilkan api yang sangat kuat sehingga mampu memantul serangan "Lingkaran Hati Bulan" Sailor Moon. Fire Buster II pula merupakan modifikasi dari senjata pertamanya dan mampu menghasilkan api yang lebih kuat. Ciptaan ketiganya adalah "Pesongan Elektrik Sang Ahli Sihir"; komputer yang membolehkan seseorang masuk ke dalam skrin besar dan kuasa yang dimiliki orang itu meningkat; akan tetapi ciptaan ini tidak digunakan oleh Eudial.

Semasa pertarungannya dengan Srikandi Sailor di Marine Cathedral, Eudial berjaya memperoleh dua Azimat yang telah dikeluarkan dari tubuh Uranus serta Neptune, akan tetapi Pluto mengambil 2 azimat tersebut darinya. Gabungan Azimat Uranus, Neptune serta Pluto membangkitkan "Piala Suci" yang juga dicari oleh Death Busters, dan melihat kemunculan piala tersebut, Eudial serta Sailor Moon berebut untuk memperolehnya. Sailor Moon berjaya mendapatkan piala tersebut dan kuasa dari piala itu menukarkannya kepada Sailor Moon Super serta memberinya lebih kuasa. Eudial cuba menyerang dia dengan senjata Fire Buster II, akan tetapi ditepis oleh Sailor Moon dan api itu mencampakkannya keluar dari tempat pertarungan mereka. Dia melarikan diri dan semasa memandu keretanya, dia mendapati siput makmal telah memusnahkan brek keretanya dan terdapat mesej dari Mimet yang menyatakan bahawa "Eudial harus mati". Akhirnya dia melanggar penghalang jalan dan jatuh ke dalam laut menyebabkan dia terbunuh.

Di dalam manga, nama manusianya ialah Yuko Arimura (有村ゆうこ), dan mengajar subjek Etika di bahagian Falsafah dalam Sekolah Mugen. Tahap kekuatannya adalah berada di Tahap 78. Semasa orientasi pelajar Sekolah Mugen di Gunung M, dia cuba menjadikan mereka sebagai "bekas", akan tetapi Sailor Mars serta Sailor Jupiter muncul untuk menentangnya. Serangan terbaru Mars, iaitu "Api Ular Mars" menyebabkan Eudial bertukar menjadi raksasa. Akhirnya Sailor Moon muncul dan memusnahkannya. Semasa Kaolinite menghidupkan semula 5 Ahli Sihir, dia diarahkan untuk bertarung dengan Sailor Mars.

Mimet

Mimet (ミメット, Mimetto) merupakan watak jahat kedua dari 5 Ahli Sihir yang diketengahkan. Namanya bersempena dengan nama batuan Mimetit yang berwarna kekuningan. Nama manusianya ialah Mimi Hanyu (羽生美々) dan mengajar kelas Lakonan di bahagian Seni Sekolah Mugen. Kekuatannya adalah berada di Tahap 40, dan serangannya ialah "Charm Buster", yang muncul di dalam anime serta manga.

Manga menyatakan bahawa dia merupakan idola pop di sekolahnya dan mengadakan konsert untuk mengumpulkan "bekas" bagi tujuan jahat Death Busters. Pada konsert Mimet, Minako menyamar sebagai pelajar Sekolah Mugen untuk menghadiri konsert tersebut dan setelah mengetahui agenda jahat Mimet, bertarung dengannya. Mimet meminta bantuan Kaolinite untuk membangkitkan raksasa Daimon setelah Srikandi Sailor yang lain muncul tetapi Mimet akhirnya dimusnahkan oleh Sailor Uranus. Semasa dihidupkan semula oleh Kaolinite, dia diarahkan untuk menentang Sailor Venus.

Anime menceritakan tentang tugas Mimet untuk mengumpul hati suci selepas Eudial dimusnahkan. Mangsa utama Mimet adalah selebriti yang kacak dan terkenal. Daimon yang dibawa oleh Mimet berupaya mengeluarkan hati suci mangsa dengan menyedutnya dari mulut mereka. Disebabkan Daimon yang dibawa oleh Mimet lebih kuat dari Daimon sebelumnya, Sailor Moon perlu menggunakan kuasa Piala Suci untuk menumpaskannya. Keupayaan serangan Mimet di dalam anime, iaitu "Charm Buster", menyebabkan mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri serta tidak mampu bergerak.

Setelah beberapa cubaan Mimet untuk memperoleh hati suci gagal, Profesor Soichi telah mengarahkan Telulu untuk meneruskan tugas tersebut. Mimet yang ternyata tidak berpuas hati dengan keputusan profesor, cuba mengambil hatinya dengan menggunakan ciptaan Eudial yang tidak digunakan, iaitu "Pesongan Elektrik Sang Ahli Sihir". Eudial tidak menggunakan ciptaan ini kerana sekiranya plak elektrik dicabut ketika seseorang berada dalam komputer, dia akan terperangkap di dalamnya untuk selama-lamanya. Mimet membawanya ketika cuba menyerang seorang profesor luar negara yang pada masa itu memberi syarahan perdana di Sekolah Mugen. Srikandi Sailor yang sedang menyiasat sekolah tersebut bertarung dengan Mimet dan Daimonnya (yang bernama Upasocon) dan Sailor Moon Super berjaya memusnahkan Daimon tersebut. Mengetahui bahawa Srikandi Sailor telah menggunakan kesemua tenaga mereka, Mimet mengeluarkan komputer ciptaan Eudial dan muncul di skrin besar dewan syarahan melalui komputer tersebut. Dia mengancam untuk memusnahkan Srikandi Sailor dengan serangan "Charm Buster"nya. Akan tetapi Telulu tiba-tiba muncul dan menarik plak elektrik yang bersambung dengan komputer tersebut. Akibatnya, Mimet jatuh ke dalam gaung khayalan komputer dan lenyap.

Telulu

Telulu (テルル, Teruru) merupakan ahli ke-3 dari 5 Ahli Sihir yang muncul dalam siri ke-3 Sailor Moon. Nama manusianya ialah Lulu Teruno (照野留々) dan mengajar kelas Botani dalam bahagian Fizikal Sekolah Mugen dan juga menjaga kebun sekolah. Namanya berkait dengan nama batuan telurit. Manga menyatakan bahawa dia berada pada Tahap 404, dan serangan terkuatnya ialah "Mandragora Buster". Dia menggunakan tumbuh-tumbuhan untuk menyerang mangsanya dan semasa Sailor Moon cuba menyerang balas, dia berjaya menepis serangannya. Serangan "Hati Manis Merah Jambu" Sailor Chibi Moon menukarkan Telulu kepada raksasa dan akhirnya, Sailor Pluto memusnahkannya. Ketika dihidupkan semula oleh Kaolinite, dia diarahkan untuk menyerang Sailor Jupiter.

Anime menceritakan bahawa dia telah memusnahkan Mimet dan ditugaskan untuk mencuri hati suci. Dia menggunakan pendekatan berbeza, iaitu menggunakan tumbuhan "Telulun" yang dikatakan mampu tumbuh tanpa disiram. Akan tetapi apabila berbunga, tumbuhan ini mampu mencuri hati suci. Disebabkan tumbuhan tersebut dijual dalam kuantiti yang banyak, Telulu merancang untuk memperoleh banyak hati suci untuk dipersembahkan kepada profesor. Dia juga telah memberi tumbuhan tersebut kepada Hotaru secara percuma, dan Hotaru, yang tidak mengetahui bahawa tumbuhan tersebut berbahaya, merancang untuk memberinya kepada Usagi Kecil sebagai hadiah.

Setsuna yang mengkaji tumbuhan tersebut berasa hairan dengan kemampuan luar biasa tumbuhan tersebut, dan semasa mengkajinya, tumbuhan itu berbunga dan cuba mengambil hati sucinya. Akan tetapi Bebola Delimanya muncul dan menghasilkan medan tenaga yang melindunginya. Semasa melawat Usagi Kecil, Setsuna melihat dia sedang memegang tumbuhan tersebut dan mencampakkannya. Yakin bahawa Hotaru tidak mengetahui akan bahaya tumbuhan tersebut, Sailor Moon, Sailor Chibi Moon dan Sailor Pluto menyiasat kedai tempat menjual tumbuhan itu. Ketika mereka sedang mengintai Telulu, dia memerangkap pelanggan yang ada di dalam kedainya, mencuri hati suci mereka dan mengumpulnya di dalam satu bekas kecil berbentuk bintang hitam. Rancangan jahat Telulu terbongkar dan berlaku pertarungan sengit. Kuasa serangan Sailor Chibi Moon menjadi lebih kuat dari yang biasa, sehingga mampu menghalang serangan Telulu. Ketika Telulu cuba menyerang balas, Pluto menghalang serangan tersebut, menyebabkan dia tidak mampu bergerak.

Tuxedo Mask muncul, menyelamatkan Pluto dan akhirnya Sailor Moon Super memusnahkan semua tumbuhan jahat di kedai tersebut. Marah dengan Sailor Moon, dia menyuntik satu tumbuhan Telulun dengan sejenis bahan kimia yang menukarkan tumbuhan itu menjadi Hyper-Telulun. Ia hanya bergerak balas terhadap hati suci dan memusnahkan pemilik hati suci itu beserta dirinya sendiri. Ketika Telulu cuba beredar dari kedai itu, Tuxedo Mask melemparkan bunga ros menyebabkan bekas kecil berisi hati suci yang dikumpul Telulu pecah. Semua hati suci bertaburan dan menyebabkan Hyper-Telulun menyerang Telulu. Dia cuba membalikkan serangan tumbuhan tersebut akan tetapi tidak berjaya dan akhirnya musnah bersama dengan tumbuhan tersebut.

Viluy

Viluy (ビリユイ, Biriyui) adalah ahli ketiga dalam 5 Ahli Sihir yang diketengahkan dalam siri ini. Namanya bersempena dengan nama sejenis mineral viluit.

Yui Bidoh (美堂ゆい, Bidō Yui)Dia berada pada Tahap 202 dan mengajar kelas Komputer dalam bahagian Sains Sekolah Mugen. Dia juga memprogramkan semua komputer di sekolah tersebut untuk meragut Jiwa penggunanya ketika latihan peperiksaan nasional. Dengan menggunakan robot nanonya melalui serangan "Mosaic Buster", dia cuba menyerang balas serangan "Logamaya Akua Mercury". Akan tetapi Sailor Uranus muncul dan dengan menyerukan Pedang Angkasanya (iaitu Azimat Ke-2), dia memusnahkan Viluy.

Selepas dihidupkan semula oleh Kaolinite, Viluy diarahkan untuk bertarung dengan Mercury dan dia cuba mengalihkan perhatiannya dengan menunjukkan superkomputer yang menggerakkan Sekolah Mugen. Semasa Mercury sedang leka, dia menyerang dengan robot nanonya dan Mercury terperangkap.

Adaptasi anime pula menceritakan bahawa selepas Tellu dimusnahkan, Viluy ditugaskan mengumpul hati suci. Seperti di dalam manga, dia juga menggunakan superkomputer sekolah (yang dikawal oleh gelang tangannya) untuk mencuri hati suci pelajar sekolah ketika peperiksaan nasional sedang berjalan. Dia berjaya menyerang balas serangan "Ilusi Akua Bersinar" Mercury dengan robot nanonya dan cuba memusnahkan tubuh Mercury. Viluy juga berjaya menumbangkan Haruka dan Michiru, tetapi kemudian mereka berdua mengatasi serangan Viluy dan bertukar menjadi srikandi Sailor. Dengan serangan Neptune dan Uranus, Viluy menjadi lemah dan Sailor Moon memusnahkan gelang tangannya yang mengawal seluruh serangannya. Akibat dari serangan Sailor Moon, robot nano tersebut berpaling tadah dan menyerang Viluy. Lama kelamaan, Viluy dimusnahkan oleh robot nanonya sendiri dan para srikandi Sailor melihat dengan sayu saat Viluy musnah dan menghilang.

Siprin Dan Ptilol

Siprin (シプリン, Shipurin) dan Ptilol (プチロル, Puchiroru)adalah ahli ke-5 dalam kumpulan 5 Ahli Sihir. Mereka bertindak bersama-sama dan kuasa mereka adalah satu. Nama mereka adalah bersempena nama mineral siprin dan klinoptilolit.

Anime menceritakan bahawa mereka adalah ahli terakhir dalam 5 Ahli Sihir, dan ahli paling kuat. Pada mulanya, hanya Siprin yang bersemuka dengan Srikandi Sailor, akan tetapi apabila mula bertarung dengan mereka, Ptilol muncul dan mereka mempunyai fikiran yang sama dalam dua tubuh yang berbeza. Serangan mereka berdua ternyata sangat kuat, apabila seorang menghalang serangan Srikandi Sailor, seorang lagi menyerang balas dari belakang. Tambahan pula, tongkat sakti mereka mampu menyerap serangan Srikandi Sailor dan meningkatkan tenaga serangan Siprin dan Ptilol apabila menyerang balas.

Akan tetapi, dengan semangat berpasukan Srikandi Sailor melalui Kabus Shabon Mercury yang mengaburi penglihatan mereka berdua, Srikandi Sailor berjaya memperdaya Siprin dan Ptilol sehingga mereka saling menyerang sesama sendiri dan akhirnya memusnahkan diri mereka sendiri.

Di dalam manga, Siprin dan Ptilol merupakan ahli terkuat dalam 5 Ahli Sihir dengan Tahap 999 dan serangan mereka "Ribbon Buster" mampu mencari perasaan gelap di dalam hati para Srikandi Pelindung dan Srikandi Luar Sistem Suria sehingga mereka menyerang sesama sendiri. Sailor Chibi Moon cuba menghalang mereka tetapi gagal. Akhirnya, Sailor Moon, menyeru semua Srikandi Sailor untuk bersatu hati, dan menyedarkan mereka dari pukauan kuasa jahat Siprin. Tiba-tiba, Piala Suci menjelma dan Srikandi Pelindung meminjamkan Sailor Moon kuasa mereka dan 3 Azimat Srikandi Pelindung Luar Sistem Suria juga memberi kuasanya kepada piala suci tersebut. Sailor Moon "meminum" campuran kuasa-kuasa ini dari piala suci tersebut dan bertukar menjadi Sailor Moon Super. Sailor Chibi Moon terkejut dengan transformasi Sailor Moon dan menyatakan bahawa bondanya, Neo-Queen Serenity, pernah memberitahu, suatu masa nanti, dia akan bertemu Sailor Moon yang lebih berkuasa. Setelah bertukar menjadi Sailor Moon Super, dia menggunakan Tongkat Hati Bulannya dengan serangan "Pelangi Hati Bulan" seterusnya memusnahkan Siprin dan Ptilol.